Monday, 6 July 2015

CUCU YEOP KAYA


Entah mengapa hanya pada hari ini baru terbuka hatiku untuk mengisi halaman kosong ini dengan coretan yang akupun tidak tahu mengenai apa.Apakah kerana aku ini sudah punya lebih masa senggang untuk aku menekan- nekan hurup-huruf di keyboard ini yang dahulunya digunakan unttuk menaip surat rasmi kerajaan semata-mata kerana waktu itu aku masih menjadi seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan? Atau mungkin juga aku terpanggil untuk bercerita siapa aku kepada anak-anak dan cucu- cucuku dan jenerasiku di kemudian hari..atau untuk mereka yang telah mengenali aku dari kalangan adik beradik dan saudara maraku juga mereka yang pernah terserempak dengan nama- nama  individu dan tempat yang akan aku paparkan di halaman ini ? Apa pun sebabnya ,tak apalah,,elok juga setelah penat menjahit barangan krafku , aku duduk di hadapan screen ini dan menekan-nekan butir-butir huruf depan mataku ini..nanti bila dah penat , aku balik bersama mesin jahitku....oh...atau aku sudah merasa diri ini sudah mencapai umur emas enam puluh tahun dan masa untuk bercerita bersama anak cucu sudah semakin pendek dan aku merasa takut, takut tak sempat menukilkan sesuatu untuk mereka jadikan rujukan bercerita pula kepada anak cucu mereka.? Apa-apalah...janji aku bercerita .Inilah ceritaku di 'Kembara Riwayat'

                                  
           KAMPONG  KOTA, KOTA BHARU, PERAK.



                                   
                                   PAPAN TANDA KG. KOTA BHARU,GOPENG, PERAK.


Bila patah-patah perkataan di atas kudengar atau aku terbaca dimana-mana, maka tersuramlah hatiku dengan rasa sayu. Sayu mengenangkan tempat itu sekarang hanya menjadi kenangan ketika aku di zaman kanak-kanak dulu. Semakin sayu bertambah hiba apabila perginya  Ibrahim bin Yeop Ahmad, satu-satunya bapa saudaraku yang tinggal dari anak Yeop Kaya (selepas ini disebut Acik Ein )beberapa hari sebelum hilangnya MH 370 pada 12 Mach 2014 yang lalu atau mungkin dia pergi pada hari yang sama hilangnya pesawat itu,kerana jenazahnya ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati bersaorangan, tanpa mengenal kehidupan berumah tangga, di rumah peninggalan datukku, Yeop Ahmad bin Kulup Mat Resat (Kulup Mat Resat dikenali juga dengan gelaran Kulup Joreng) yang terkenal dengan gelaran 'Yeop Kaya'(selepas ini disebut Tok). Kata ibuku , Tok dahulunya seorang' surveyer' dan tentunya bekerja makan gaji , hidup senang dan banyak harta. Mungkin kerana itulah dia mendapat gelaran demikian. Memang aku yakin yang Tok dulu seorang jurukur tanah sebab aku pernah melihat kayu pancang, tali ukur 100 kaki dan kompass yang diperbuat daripada tembaga dan meja besar yang Tok gunakan untuk melukis pelan.Patutlah cucunya ini memilih bidang teknikal, rupanya Tok sudah merintis jalannya terlebih dahulu begitu juga salah seorang bapa saudaraku-Baharuddinn bin Yeop Ahmad (selepas ini disebut Ayah Uda) di Terengganu yang juga seorang pegawai teknikal di sebuah jabatan kerajaan di sana.

Aku dilahirkan disebuah pekan kecil di daerah Gopeng Perak benama Kota Bharu, lebih tepat boleh disebut Jalan Dato' Setia, Kampong Kota, Kota Bharu, Perak. oleh seorang wanita bernama Saadiah binti Yeop Ahmad (selepas ini disebut Encik) isteri kepada  Abdullah bin Mat Akat (selepas ini disebut Bapak). Bapaku berasal daripada sebuah tempat bernama Temoh dalam daerah Tapah, Batang Padang. Waktu kecil hingga sekarangpun aku masih mendengar tempat itu dipanggil Batu Enam..mungkin ianya enam batu dari pekan Tapah kut..!Kata Encik, nama batang tubuhku (mujur tak batang pinang) yang diberi oleh datukku , adalah Siti Arfah Hawaliah jadi kalau nak ikutkan aku bernama Siti Arfah Hawaliah binti Abdullah  tetapi oleh kerana Bapak seorang yang sangat simple, maka 'Siti' dan 'Hawaliah' ditinggalkan. Kata Encik Hawaliah tu nama opah Tok, siti pula mengingatkan darah keturunan syed yang memang ada mengalir dalam DNA setiap keturunannya. Kalau begitu kenapa tidak dibubuh Siti Arfah atau Siti Hawaliah sahaja...(eh..! pandai-pandai je aku..!).entah orang dulu-dulu ni memang banyak muslihatnya dengan makna yang tersurat dan tersirat.

Dari sebelah bapa, kami adik beradik pantang makan ikan tapah. Baru sekarang aku tahu keturunan yang dilarang makan ikan tapah ni bersalasilahkan Tok Kaduk. Tuk Kaduk melafazkan sumpah bahawa keturunannya tidak boleh makan ikan tapah, menangkap atau menginiaya ikan itu , Sesiapa keturunannya yang melanggar sumpahnya itu akan mendapat padah..gatal-gatal kulit, melecur seperti di makan air. Patutlah dulu kalau opahku ,Salamiah binti Kulub Sagap (selepas ini disebut Opah) atau ibu saudaraku Halijah binti Yeop Ahmad (selepas ini disebut Mak) masak gulai ikan tapah, aku di halau jauh-jauh, di suruh main di tanah...di bawah rumah maksudnya. Senduknya pun aku tak boleh sentuh, baupun tak boleh...waktu tu hairanlah aku tapi budak-budak, ikutkan sajalah. Cerita Tok Kaduk ni ada pepatahnya  'Malang Sungguh Nasib Pak Kaduk, Ayam Kalah, Kampung Tergadai' (carilah ceritanya dalam google)


                                            RUMAH PENINGGALAN YEOP KAYA - SEPI



Zaman  Kanak-Kanak

Aku dibesarkan sejak lahir di Kota Bharu bersama Opah , Mak dan ibu saudara bongsuku Arbaesah binti Yeop Ahmad (selepas ini disebut Cu)serta Acik Ein. Mereka waktu itu belum berkahwin. Kata meraka Tok meninggal waktu aku berumur lebih kurang dua tahun. Jadinya aku tinggal bersama mereka kerana semasa hayatnya Tok melarang aku dibawa ke Singapura kerana waktu itu bapak bekerja di Changi dengan Tentera Udara Di Raja Komenwel. Tok kata anak kecil tak baik dibawa naik keretapi tengah-tengah malam, tak elok kena angin malam ditambah pula dengan asap keretapi, bukannya dekat pulak tu mengambil masa berjam-jam...tak tahulah pulak berapa jam dari Batu Gajah ke Tanjung Pagar ketika itu. Dulu-dulu mana ada aircond, bila saja sampai kedestinasi, lubang hidung semuanya penuh dengan jelaga asap lokomotif tu. Masa tu keretapi mel hanya singgah di stesen-stesen besar saja seperti Batu Gajah dan Kampar yang paling dekat.. Naik keretapi biasa dulu pergI ke Batu Gajah kemudian baru naik keretapi mel. Keretapi mel di Kota Bharu tak berhenti.

Waktu kanak-kanak dulu, Mak dan Cu selalu bawa aku naik keretapi pergi shopping ke Kampar dan waktu nak raya Mak dan Cu pergi karan (kerinting) rambut di sana. Kalau tak silap, di Batu Gajah tak ada kedai karan rambut (orang sekarang sebut salon rambutlah..)kalau adapun mereka tidak berani pergi ke Batu Gajah, takut terserempak dengan Ayah Aji Nali yang memang selalu berkeliaran di pekan tu lagipun rumahnya memang di pekan lama Batu Gajah tu..dekat sangat.Walaupun Ayah Aji Nali ada kereta tapi dia lebih suka ke pekan dengan berjalan kaki. Kalau terserempak dengan Ayah Aji Nali dengan rambut baru dikerinting dan bau ubat rambut tu...siaplah kamu...di'letio'nya sepanjang jalan .Ayah Aji dulu memang strict orangnya. Anak dara, dia larang berjalan-jalan apatah lagi pergi karan rambut..katanya haram bakar rambut dengan Cina. Isteri dan anak-anak buah semua takut dengannya tapi dalam diam- diam, dibelakangnya mereka buat juga, dia seorang mereka ramai, macam mana dia nak kawal. Dulu kalau Mak atau Cu nak beli kain atau nak cabut gigi, mereka akan ke Batu Gajah. Di Batu Gajah katanya ada seorang doktor gigi bangsa Cina yang tua tapi semua orang suka sebab kerjanya bagus. Kalau nak pergi beli benang emas untuk buat sulaman tekat pun Mak akan ke Batu Gajah..Aku masih ingat lagi, kedai benang emas itu kedai India, terletak di persimpangan dua jalan, macam lokasi Masjid Jamek kat K.L tu....di pertemuan dua sungai..serupalah kedai tu !kalau sekarang dari Tg. Tualang, ikut kiri pergi ke Pejabat Pos, di sebelah kanan menghala jalan bas ke Tanjung Tualang. Sekarang semua tu dah tak ada lagi, sudah dibina kedai baharu. Kalau orang kampong nak tangkap gambar, mereka akan pergi ke Gopeng sahaja dengan menaiki bas yang dulunya agak kerap juga jadualnya. Walaupun pekan Batu Gajah bahagian dulu tak banyak berubah tapi bahagian  sebelah sini dah banyak kedai baharu.

Kampong Kota Bharu dulu ramai juga penduduknya,Mereka kebanyakannya bekerja dengan syarikat yang melombong bijih timah. Aku masih ingat lagi, kalau dah malam, kapal korek tu punya jerit, sampai naik ngilu gigi .Kapal tu memang di belakang kampong tu saja. Eee..tapi nyenyak juga orang kampong tidur, termasuklah aku yang waktu itu masih budak-budak, dah lali agaknya. Waktu tu kalau nak tidur, aku kena cari bantal sejuk dan gentel rambut Mak, baru lena. Bantal sejuk tu bukannya apa, sarungnya dibuat daripada  kain satin bewarna merah jambu pucat.

Sebelum tidur Mak akan memasang kelambu. Kampung tu memang populasi nyamuknya hebat. Besar-besar pulak tu. Ada seorang bapa saudaraku pernah berkata 'empat ekor, sekati'..he..he! Keempat-empat bucu kelambu tu akan diikat tali dan disangkutkan pada paku yang sudah sedia ada di dinding. Tiap-tiap orang akan ada kelambunya masing-masing. Satu di ceruk sana, satu di ceruk sini..macam orang berkhemah dalam hutan pulak nampaknya. Walaupun kampung tu banyak nyamuk, tapi tak pernah dengar pula penyakit demam denggi, nyamuk aedespun tak pernah dengar..hairan juga ! kawasan kampung bukannya berjaga sangat. Sampah dibuang merata-rata, begitu sahaja mana suka, hanya sekali sekala disapu dan dikumpulkan dan dibakar, Daun-daun keringpun banyak bertaburan di halaman rumah, maklumlah banyak pokok di sekeliling kawasan, Culah orang paling rajin membersihkan halaman dan membakar daun-daun kering tu. Bila dibakar, daun-daun kering tu akan mengeluarkan bunyi letupna-letupan kecil atau ngauman comel dan asap putih pekat akan naik keudara,..itu aku paling suka, Baunya pun semacam punya best..! Kerja membakar sampah ni selalunya dilakukan ketika larut petang, hampir maghrib. Masa kecil dulu aku suka main api bakaran tu tetapi Mak selalu marah..Mak kata main api nanti telinga bernanah....haa..apa kena mengenanya main api dengan telinga bernanah..?? Kalau difikirkan sekarang memang tak masuk akal tetapi itulah orang tua-tua dahulu, ada sahaja muslihat mereka untuk menghalang anak-anak  daripada melakukan perkara yang mereka tidak suka...yang mungkin mendatangkat mudharat.

Kebanyakan mereka yang bekerja dengan syarikat perlombongan itu adalah kaum lelaki. Penduduk lain sebagai  penoreh getah , mencari ikan, dan bercucuk tanam.Waktu dulu harga barang agak murah.Tak ada inflasi. Ada lombong dan sungai untuk mencari ikan. Ada pokok getah untuk ditoreh. Buah-buahan tak payah beli. Sayur-sayuran dan  ulam-ulaman ada di merata-rata. Pucuk ubi, pucuk sentang, pucuk paku, jantung pisang, rebung, turun saja ketanah semuanya ada. Pokok buah-buahan macam-macam ada, dari durian, rambutan, manggis, langsat, jambu keling, jambu mawar, jambu batu, rambai, sentul, asam ruminia, nangka, cempedak dan buah yang jarang sangat dikenali, asam ceropu. Buahnya nampak macam buah tomato.Waktu muda bewarna hijau tapi bila masak bewarna oren. Isinya berulas-ulas macam buah manggis tapi warnanya oren juga. Kalau manis, maniiis sangat. Kalau masam, Allah saja yang tahu.Yang masam, Mak selalu buat sambal menggantikan buah bacang. Kalau nak kupas kulitnya kita kena berhati-hati kerana banyak getah. Kalau kena pada baju memang susah nak tanggal.Waktu budak-budak dulu aku akan menggunakan getah pokok ceropu untuk menangkap cikcibor atau sibur-sibur (dragon fly lah kata orang putih). Getah tu akan diletakkan dihujung lidi kemudian pergilah cari cikcibor tu, Pelahan-lahan lekatkan getah pada hujung lidi tu pada serangga yang sedang hinggap di mana-mana. Dah dapat, masukkan ke dalam botol, kadang-kadang terbiar sampai mati. Tapi yang mati kami tak buang, dijadikan umpan pancing pulak. Batang pancing dibuat daripada buluh cina yang halus atau batang bemban. Talinya ambil benang Mak warna puteh. Minta Acik Ein belikan mata kailnya. Seronok kalau memancing. Kadang-kadang Mak tenyeh-tenyeh nasi, bubuh kunyit sikit jadikan doh . Gentel-gentel sebesar hujung jari kelingking dan cangkukkan pada mata kail tu. Kalau dapat ikan Mak akan gorengkan untuk aku buat lauk. Kalau dapat ikan yang agak besarlah yang paling seronok..Mak akan buat gulai untuk semua orang makan..walaupun seekor...bukan makan sangatpun hanya untuk jadi motivasi saja!!

Satu  yang aku masih ingat, apabila tiba musim buah-buahan. Acik Ein akan mengumpulkan banyak tin susu. Tin-tin ini akan diikat bergugusan pada tali dan bahagian yang ada gugusan tin itu akan diikat kepada salah satu dahan atau ranting pokok buah , selalunya pokok rambutan lah, dan hujung tali itu akan diikat pula pada gelegar tingkap. Musim buah-buahan adalah syurga bagi sang keluang...musuh utama buah-buahan. Bila cik keluang datang, akan kedengaran..bus, bus, bus bunyi sayap mereka yang panjang tu. Waktu itulah tali di tingkap tu akan ditarik berkali-kali dan tin-tin yang bergugusan itu akan berlaga sesama sendiri sambil mengeluarkan bunyi yang bergemerincing yang kuat membelah kesunyian malam. Aku ingat bukan keluang sahaja yang lari tau, seluruh kampung akan terjaga dari mimpi indah mereka.. Elok juga sekurang-kurangnya ada orang yang mengejutkan warga kampung untuk sembahyang tahajjud. Bayangkanlah, dalam sunyi damai keheningan malam, bertemankan bunyi cengkerik, sekali sekala bunyi burung but-but, kuang kuit dan burung jampuk serta  burung tukang, tiba-tiba krong, krang, krong krang, bukan hanya penghuni kampung terduduk dari baringan, ayam itek, lembu kambingpun terjerit pekik dibuatnya (dulu tak ada lembu kambing..saja je!!) Itulah istimewanya deria orang kampung dulu-dulu, sedikit sahaja bunyi luar biasa di tengah malam, mereka cepat mengesan, Pendengaran mereka tidak dicemari dengan hiruk pikuk  bunyi bising kota. Tengoklah macam kedatangan pasukan keluang tu..cepat aje Acik Ein bangun dan terus tarik tali tu..huh..
orang sekarang ada macam tu..dengan aircond, kipas, tilam empuk...lantaklah engkau keluang nak makan banyak manapun rambutan tu, silakan. Bila besok pagi nampak kulit bertaburan di bawah pokok, waktu tu lah nak maki hamun makhlok Allah tu..!! Lagi satu peristiwa yang aku masih ingat apabila ayam ternakan Opah diintai oleh cik musang. Baru nak mengintai saja, Acik Ein sudah dapat menghidunya sebab musang tu dah bagi salam kat cik ayam (bodoh punya musang, konon nak islamiklah..) musang ni rupanya kalau dia dah berbau ayam..dia akan mengeluarkan satu bunyi deraman , Apa lagi..keluarga ayampun mulalah duduk tak senang. Merekapun sambutlah salam cik musang dengan mengeluarkan bunyi yang pelik-pelik. Rupanya Acik Ein juga sudah bersedia untuk melayan tetamu malam yang tidak diundang tu. Dengan selait (torchlight lah..lampu suluh cakap melayunya) di tangan diapun turun ke reban ayam yang letaknya di berhampiran dengan tangga belakang rumah. Entah dari mana  dia dapat pelepah pinang, dengan sekuat hati, Acik Ein memukulnya ketanah..debab..debuk..debab...debuk, sambil mulutnya mengeluarkan entah apa bahasa..tak faham aku. Kami semua bangun membuka tingkap. Dari tingkap kami nampak musang tu lari dan buuur..bunyi air sungai diterjahnya...selamat kamu musang....! Ayam..macamana ?? selamat ke juga atau ada yang lari keluar takutkan pelepah pinang tu juga..?? Tak ada pulak cerita seterusnya.

Orang kampong turun ke pasar untuk beli ikan laut sahaja. Ikan rebus atau ikan termenung  lengat adalah kegemaranku sampai sekarang. Masa kecil dulu aku selalu ikut Opah pergi kedai. Jauh juga nak berjalan kaki tapi waktu itu Opah masih kuat dan akupun masih ligat. Nanti bila nak balik Opah selalu belikan aku ais kepal di kedai tempat bas berhenti tu. Ais sagat tu akan dikepal besar sikit dari bola kriket, lepas tu disiram air gula rata-rata, kemudian dilapik dengan kertas surat khabar. Dulu mana ada plastik...sambil berjalan pulang sambil aku menyedut air gulanya sampai habis. Kadang-kadang belum sampai rumah lagi, baju dah basah dengan air manis yang meleleh menembusi kertas surat khabar tu. Ikan atau barangan basah lain akan dibungkus dengan daun teratai dan diikat dengan tali masin.Tali masin di perbuat daripada  batang pisang, memang masin pun, waktu tu mana ada tali raffia.Tali guni atau tali jut hanya digunakan untuk ikat barang yang berat-berat saja. Opah kan..kalau dia penat atau bawa barang berat sikit, dia akan singgah di rumah Wah (Emak saudaraku, tak tahu belah mana) dan anaknya Kak Nab akan menjamu kami dengan kopi o atau teh o dan sedikit biskut. Opah lebih suka singgah di rumah Wah dari singgah di rumah Ayah Yang Lakdin  dan Dayang yang bersebelahan. Merekapun saudara juga tapi tak berapa nak tahu, berapa dekat dan berapa jauh.


                    DI SEBELAH KIRI RUMAH WAH (TEMPAT OPAH SELALU SINGGAH)
                     DAN DI KANAN RUMAH AYAH YANG LAKDIN-KINI TINGGAL SEPI


Sungai Teman / Sungai Kerantung.

Sungai yang berhampiran dengan rumah Opah dulu, airnya nin jernih,mengalir lesu dengan menampakkan ikan-ikan yang berenang di dalamnya. Ikan lampam, ikan terobol, paling banyak ikan seluanglah. Macam-macam ikan lagilah. Ularpun ada juga. Buaya waktu itu tak pernah dengarlah pulak tapi biawak adalah..Sungai ini jugalah yang mengajar aku menjadi pandai berenang dan menyelam. Apa tidaknya, kalau dah mandi sungai, tak mahu naik-naik. Kami kalau dah ramai dalam sungai, boleh main nyorok-nyorok lagi. Bayangkan bagaimana budak kampong macam aku sudah pandai berenang dan menyelam seusia lima tahun. Sampai dah senja macam ni aku masih sukakan sungai atau kolam renang berbanding dengan laut. Menyelam ni kalau lama sangat boleh buat pandangan kita jadi kelabu sekejap maklumlah mana ada gorgle, semuanya celik dalam air. Selagi tak dihambat Mak dengan rotan, aku tak akan naik dari sungai, kadang-kadang dipanggil makanpun aku buat tak reti saja. Walaupun tiada papan anjal, aku dan kawan-kawan tak sah kalau tak terjun dari jambatan ketika mandi. Paling seronok kalau beramai-ramai. Nak mula mandi, pergi jambatan dan buurrr....terjun. Bernang..menyelam..naik kedarat melalui jambor dan buuurrr..terjun lagi. Dulunya jambatan itu hanyalah jambatan papan, kosong tanpa susur tangan. Itu yang buat kami mudah terjun. Hanya basikal dan motosikal sahaja yang boleh lalu. Kalau Ayah Ngah datang, kereta Morrisnya akan diparkir dekat pokok buluh di seberang sungau. Kemudian jambatan ini ditukar dengan jambatan besi dan sekarang jambatan konkrit....ada kemajuan jambatan ni tapi sayang, kampung semakin sunyi  dan sayu. Untuk pengetahuan semua, sungai inilah juga sungai yang diilustrasikan oleh Datok Lat dalam komiknya Kampong Boy. Kampong ini adalah juga lokasi sama kehidupanku semasa kanak-kanak. Komik Kampong Boy itu betul-betul nostaljik sangat bagi aku dan ramai lagi.

Di sepanjang sungai dan di kelompok yang banyak rumah, terdapat tempat mandi yang berdinding dipanggil jambor. Ada juga jambor yang tidak berdinding. Dindingnya dibuat daripada atap rumbia atau kepingan zink. selalunya dinding ni akan dibuat  untuk menutup pandangan orang lalu lalang terutamanya orang yang lalu kat jambatan tu. Jambor ni ada lantai dan tangga untuk turun ke air. Lantai tu macam pelantarlah, menganjur ke tengah sikit dan bertiang, gunanya untuk orang membasuh , memberus dan meyental pakaian sebelum di bawa turun ke air untuk dibilas. Dekat rumah Opah tu dulu ada jambor Yop, jambor Haji Syukur, jambor Hj. Mohamad yang aku panggil jambor Moyong dan banyak lagi jambor-jambor yang berhampiran. Di samping jambor-jambor tu ada pula pondok-pondok  kecil yang berpintu dan berbumbung menganjur ke tengah sungai , ada tiang dan titi kecil. Berdindingkan atap rumbia atau zink jua. Inilah tandas orang kampong .Cepelap..cepelup jatuh dalam sungai. Maka apa lagi, ikanpun berkerumunlah dapat rezeki dari langit. Dalam tandas tu ada timba dengan tali untuk istinjak.  Lantai tandas dibuat tidaklah meliputi seluruhnya, ada lubang untuk bertenggung dan untuk menceduk air sungai. Kami budak-budak nakal ni kalau ada orang menuju ke tandas tu, kamipun standbylah dengan pancing, nak tumpang semangkuk .Bila ikan berkerumun nanti kamipun campaklah mata pancing kat situ, tapi hairanlah tak pernah dapatpun padahal ikan banyak...eee kalau dapat susah juga nak menyiangnya. Waktu itu kami budak-budak lagi, tak terfikir benda-benda macam tu. Yang diingat nak seronok saja. Dah tua-tua macam ni baru terasa geli gelemannya..!!!

Sungai ini hanya digunakan untuk mandi dan membasuh pakaian atau pinggan mangkuk dan periuk belanga selepas majlis kenduri ...kenduri apa-apalah. Untuk air minuman air telaga RIDA (sekarang Majlis Amanah Rakyat) digunakan. Air telaga itu akan diceduk dengan timba berpuli takal dan dicurahkan kedalam tapis. Tapis ni diperbuat daripada  potongan tong drum yang di dalamnya dibubuh lapisan batu-batu paling kasar pada bahagian paling bawah seterusnya beberapa lagi lapisan batu-batu kecil, lagi kecil dan seterusnya lapisan pasir bersih putih diambil  dari tepi lombong. Bahagian tepi paling bawah tong drum itu akan ditebuk dan di berikan muncung belahan kecil kepingan zink untuk saluran air mengalir. Air yang keluar sangat sejuk dan jernih. Itu lah sahaja bekalan air jernih yang digunakan untuk minum. Tetapi air itu kenalah ditadah dan diangkut dari telaga ke rumah. Jaraknya adalah lebih kurang 80 meter. Air tu akan di tuang ke dalam guri atau tempayan-tempayan kecil untuk kegunaan memasak dan minum. Rasanya kalau air minum , Mak tak perlu masak sebab air tu memang sejuk dan nyaman. Telaga itu beberapa tahun dahulu masih ada tetapi sekarang telah ditimbus dan diatasnya terdiri sebuah rumah batu penduduk kampung . Sebelumnya telaga ini digunakan untuk memberi kambing minum oleh seorang penduduk di situ. Waktu aku kecil dulu mana ada bekalan air paip. Itulah satu-satunya sumber air bersih kami. Tak adapun orang kampung tu dapat penyakit...!!

                                SUNGAI YANG BANYAK MEMBERI KENANGAN 
                                                   DAN PENGAJARAN KEPADAKU


 DI SINI DAHULUNYA, DI SEBELAH KANAN JAMBATAN, 
                                 ADA SATU JAMBOR TEMPAT  KAMI TURUN KESUNGAI




                      RUMAH INI DIBINA DI ATAS TAPAK TELAGA RIDA YANG MENJADI
                                SUMBER AIR BERSIH BAGI PENDUDUK SEKITARNYA


Pencetus Minat  Seniku

Dulu atau masih adakah lagi sampai sekarang, sungai itu di beberapa  tempat, tebingnya berselut. Selutnya warna keoren-orenan. Waktu tu mana aku tahu bahawa labu sayung yang Mak simpan air kat dapur tu diperbuat daripada selut. Labu sayung tu warnanya hitam, selut di tebing sungai tu warnanya oren. Tebing sungai di hadapan dapur Opah tu berpasir melunjur ke air. Di jambor moyong memang berselut tetapi tebingnya agak tinggi bagi aku ketika itu. Selalu juga aku tergelinchir jatuh ke air kalau tersalah langkah di tebing itu sebab selut tu licin..ehmm kalau dah tergelincir, teruslah berenang, atau agak akulah, sengaja aku gelinchirkan diri kut bila Mak melarang aku mandi pada waktu-waktu tertentu, selalunya pada waktu terlalu pagi, sejuk lagi. Mak takut aku dapat selsema katanya pada hal untuk pengetahuan semua, waktu itulah air sungai terasa suam sebab bahang tanah masih ada. Daripada selut inilah aku mencipta kraf pertamaku, seperti periok belanga, pinggan mangkuk, teko dan cawan kalau aku nak main masak-masak. Aku terpaksa mengorek selut tu dengan tempurung di jambor Pak Li sebelah sana jambatan tu untuk aku buat semua ni. Dikumpulkan dalam kertas surat khabar, dibawa balik ke beranda dan akupun mula menepek-nepek  atas lantai. Mak selalu marah sebab lantai tu akan jadi kotor dan basah, lepas tu terpaksalah aku lapek dengan daun pisang atau surat khabar.

Kalau hari hujan atau aku di 'groundedkan ' oleh Mak, aku main anak-anak....anak patung kain. Kain perca digulung-gulung dan dilipat dua. Diikat bahagian lipatan tu untuk di jadikan kepala. Untuk tangannya pula, kain perca lain (pendek sikit) digulung-gulung juga lalu di selitkan di bawak ikatan kepala tadi dan diikat lagi dengan benang, jadinya macam orang-orangan di tengah sawah. Ada baju dan kainnya pulak tu. Dengan kain perca Mak juga. Untuk bajunya, kain itu dilipat empat, dipotong tangan dan labuhnya, diberi lubang untuk kepala. Kainnya dipotong perca empat segi, dibalutkan bahagian kakinya.Di bahagian pinggang diikat dengan benang dan kembangkan bahagian bawahnya.. .jadilah kain atau seluar. Sebelum tu aku mengutip kotak mancis api atau kotak rokok atau kepingan-kepingan kotak untuk aku buatkan bahan rumahnya. Selalunya 'kediaman ' ini aku bina di hadapan tingkap sebab di situ terang. Kotak-kotak itu ada yang aku jadikan katil, kerusi meja , almari baju dan macam-macam perabot lagi .Ada juga kepingan-kepingan kotak tu yang aku jadikan dinding untuk bilik-biliknya. Bila difikirkan kembali agaknya ini juga pencetus minatku untuk mengambil kursus senibina ketika di Politeknik Ungku Omar Ipoh pada tahun 1973 dahulu. Betul kata pakar, minat anak-anak boleh kita lihat dengan apa yang dia buat ketika kanak-kanak lagi. Begitu juga dengan adik-adikku. Yang seorang suka gambar kapal terbang akhirnya menjadi anggota TUDM. Yang seorang lagi pantang jumpa air, mulalah nak memancing dan suka menyimpan mainan berbentuk kapal dan gambar kapal, tak kira kapal apa, akhirnya menjadi anggota TLDM. Bertuah dan bersyukurnya kami kerana Bapak dan Encik tak pernah melarang. Bapak sebenarnya mahu aku menjadi guru seperti anak-anak saudaranya yang lain tapi aku tak berapa minat. Bapak memang orang yang sukakan ilmu terutamanya ilmu agama. Dia sanggup berbasikal walau jauh sekalipun kalau dia tahu di mana-mana surau atau mesjid ada tok guru datang mengajar. Bapak tak pernah ada kenderaan lain selain dari basikalnya. Itu sebab Bapak dulu tak pernah jatuh sakit yang teruk-teruk sebab dari pagi pergi kerja dia akan mengayuh basikalnya. Minat Bapak itu nampaknya turun kepadaku yang juga sukakan ilmu apa saja. Rupanya  bapak telah pun merintis minat ini sejak hari aku lahir lagi. Aku terjumpa sebuah kitab rengkas yang bapa beli tercatat pada nya tarikh hari lahirku 20 Februari 1954. Memang aku menyukai buku, seringan-ringan komik waktu kanak-kanak dulu hingga semahal-mahal buku ilmiah yang harganya hingga ratusan ringgit. Di rumahku bagaikan ada sebuah perpustakaan mengandungi berbagai-bagai buku dengan berbagai-bagai tajuk dan kategori. Aku sayang buku-buku aku. Aku jaga dengan baik. Kalaulah Bapak masih ada mesti dia tersenyum melihatnya. Sayangnya Bapak telah pergi , pergi dalam satu kemalangan jalanraya pada tahun 24 April 1981  pada usia enam puluh tujuh tahun...Alfatihah...!!

                 MAK DAN ACIK EIN: INSAN DUA BERADIK YANG MENGAKHIRI KECERIAN
                      DI RUMAH PENINGGALAN TOK YEOP KAYA : YANG TINGGAL HANYA
                                      KENANGAN BERSAMA MEREKA...AL-FATIHAH..!




Mereka Yang Aku Kenal


Rumah Opah tu berhampiran sangat dengan sungai, hinggakan Ayah Ngah (panggilan kepada bapa saudaraku  bernama Shamsuddin bin Yeop Ahmad) terpaksa membuat benteng konkrit takut-takut tanah yang menghadap sungai terhakis apabila berlaku banjir dan air sungai melempah. Ini pernah berlaku beberapa kali juga ketika aku kecil. Bila air melempah kami budak-budak tidak dibenarkan sama sekali berenang kerana arus laju. Kami hanya mandi di gigi air sahaja. Kadang-kadang air sungai sampai mencecah titi papan yang juga berhampiran dengan rumah Opah tu. Aku rasa itulah sahaja jambatan besar yang ada di kawasan situ yang boleh dilalui oleh basikal. Di tempat lain hanya titi batang kayu atau batang pinang. Nun jauh di Kampung Lalang ada sebatang lagi titi papan yang di gunakan orang kampong pergi menoreh getah. Kalau tak salah orang kampung memanggil titi tu sebagai gerotak kerantung. Lebar juga jambatan tu,mungkin digunakan oleh kerabat di raja Perak untuk pergi ke makam diraja di hujung kampung tu yang di panggil 'mohom' atau panggilan sebenarnya Marhom Teja. Sekarang jambatan itu sedah diganti dengan jambatan konkrit yang lebar, keretapun boleh berselisih. Satu masa aku masih ingat, ketika Almarhum Sultan Azlan Shah ditabalkan menjadi sultan Perak dan datang ke Marhom Teja dalam acara memenuhi syarat pertabalan, orang Kampong Kota Bharu dan kampong persekitarannya semua turun meraikan bersama. Dibuat kenduri tahlil besar-besaran bersama seluruh marhain kampong. Ada yang kata, mereka pergi bukan nak makan atau bertahlil tetapi nak menatap wajah Tuanku Bainun yang cantik tu.Kadang-kadang aku fikir orang kampong ni kelakar juga...!!!



                         JAMBATAN BAHARU MENGGANTIKAN GEROTAK KERANTUNG
                          YANG DAHULUNYA DI BUAT DARIPADA KAYU DAN PAPAN


                                      MARHOM TEJA YANG TERLETAK LEBIH KURANG
                                           3 KILOMETER DARI PEKAN kOTA BHARU


Bersebelahan dengan rumah Opah ada rumah Hj. Mohamad dan Hajjah Halimah yang aku panggil Pak Moyong dan Moyong. Mereka ini bukannya orang lain kepada kami. Saudara mara belaka. Anak Moyong yang tinggal di situ waktu itu ramai juga, ada Abang Beso (Hasin) ada Kak Yang (Nun) ada Kak Kiah (Rokiah) ada Endan (Zaharah) Kak Miah (Norhayati) dan Abang Kudin (Burhanuddin) Rumah mereka tinggi macam rumah Opah juga dan dibawah rumah ada buai. Aku selalu pergi duduk berbuai di bawah rumah mereka tu. Lepas tu Pak Moyong bina rumah baharu di seberang sungai dan keluarga Moyong pindah ke sana, yang tinggal di rumah lama hanyalah Kak Yang dan anak-anaknya yang tiga orang tu. Wanita ini ditinggalkan suami entah kemana tetapi dia tabah membesarkan anak-anak hingga ada yang berjaya. Aku tabik dengan Kak Yang. Di hadapan rumah Opah tu ada sebuah rumah bercat maroon. Kami panggil rumah tu rumah merah. Kata Encik rumah itu kepunyaan bapa saudara mereka tetapi bila penghuni rumah itu sudah tiada, keluarga Cikgu Mahyuddin tinggal di situ. Cikgu Mahyuddin terkenal dengan panggilan 'cikgu ikan' sebab dia pantang nampak air, beliau akan mencari ikan .Isteri cikgu ikan kami panggil Kak Intan .Cantik orangnya. Anak mereka ramai.Yang masih aku ingat ,Jee (Fauziah), Bahte (Bahtiar), Dak Kak (Tak tahu nama sebenar) dan ramai lagi. Jee ni masa dulu boleh ku anggap sebagai budak antagonis sebab dia suka bergaduh tapi lepas tu baik balik...maklumlah budak-budak. Dia anak sulung dalam keluarganya mestilah dia garang dengan adik-adiknya juga dengan kawan-kawanpun. Kuasa Allah siapa yang tahu akhirnya aku bekerja satu jabatan dengannya di Kuala Lumpur.

 EN. BURHANUDDIN DAN ISTERI: SATU-SATUNYA WARGA KAMPUNG YANG MASIH
              TINGGAL DI KOTA BHARU SEJAK DARI ZAMAN AKU KANAK-KANAK LAGI


Ke dalam sikit dari rumah opah tu, ke atas sikit di hujung sana, berhampiran dengan kebun getah , ada rumah Opah Bongkok. (Nama sebenarnya Teh Fatimah binti Ngah Tapa  )Opah Bongkok tu adik tok dari  bapa yang lain yang lain ...aku tak berapa pasti kerana ceritanya Tok dulu anak tunggal. Mak dan bapa tok bercerai dan masing-masing membina keluarga sendiri. Opah Bongkok ( tapi memang bongkok pun) tinggal bersama Mak Nah anak angkat Moyong sebab ceritanya Opah Bongkok tak ada anak sendiri.Waktu itu juga Opah Bongkok menjaga ibunya yang terlantar sakit yang kami panggil moyang yang juga ibu kepada Tok (Nama sebenarnya Musiah binti Mior Akil) Moyang meninggal di rumah itu ketika aku kecil mungkin lima atau enam tahun usiaku . Aku masih ingat peristiwa kematian itu. Jenazah moyang di selenggarakan di rumah Opah Bongkok. Malamnya kami pergi kenduri tahlil di rumah itu. Pergi tu bukan apa, bila angkat tangan berdoa, ada orang datang bubuh dua puloh sen dalam tangan sebagai sedekah...itu yang seronoknya. Opah Bongkok ni, walaupun dah bongkok tapi matanya cerah hingga boleh membaca al-quran tanpa memakai kaca mata. Dulu Mak dan Cu selalu pergi belajar mengaji quran dengan  opah ni. Aku selalu juga ikut sebab rumahnya tak jauh, hanya sepelaung sahaja. Aku rajin juga pergi bermain jengkek-jengkek di halaman rumah opah ni sebab halamannya rata senang untuk dilukis rajah jengkek tu atau pergi main congkak di bawah rumahnya. Korek lubang dan gunakan biji getah untuk buah congkaknya, Sedap bunyinya..ketuk ketak,ketuk ketak. Kalau tak main congkak, main batu seremban  atas beranda rumah tu. Opah Bongkok meninggal di rumah Mak Nah di Kuala Pari pada usia yang agak sangat lanjut.



                                 SISA TINGGALAN ANJUNG RUMAH OPAH BONGKOK
                                    TEMPAT MAK DAN CU SELALU PERGI MENGAJI


Di kepala titi sebelah rumah opah dulu ada sebuah rumah yang diduduki oleh satu keluarga, anak perempuan Moyong namanya Kak Zah dan suaminya kami panggil Abang Cik Tahir, seorang anggota tentera. Anak mereka ramai juga, Cik Ani, Roslan, Normah dan ramai lagi aku tak ingat yang keci-kecil tu.Tapi kemudiannya mereka pindah keseberang sungai, ke rumah bapa saudara mereka  bersebelahan dengan rumah Moyong. Waktu itulah bermulanya kesepian kampong sebelah sini. Yang tinggal hanya Kak Yang. Mak Nah bila berkahwin mengikut suaminya berpindah. Rumah Wan Munah di hujung sanapun dah kosong.Tup-tup bila aku balik, sebahagian kampUng tu sudah jadi lombong, dah hampir dengan rumah. Tiada lagi kebun getah tempat mencari biji getah, kayu api dan cendawan titip lepas hari hujan, tiada lagi paya tampang tempat Acik Ein selalu ber-ikan, tanah kebun rambutan Bapakpun dah naik hutan...sedih pilu rasanya, Sekarangpun masih begitu.Ditambah lagi populasinya dengan babi hutan, monyet dan burung enggang..dah macam mini zoo pun ada..!! Tak tahu datang dari mana mereka ni..alih-alih dah ada.

                            RUMAH-RUMAH INI TERLETAK DI SEBERANG SINI SUNGAI.
                              DI BELAKANG SANA SISA TINGGALAN RUMAH MOYONG. 
                           LAGI SATU RUMAH YANG PERNAH DIDIAMI OLEH KAK ZAH




Bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri

Aku tak berapa ingat sama ada aku berpuasa atau tidak pada bulan Ramadhan ketika itu, maklumlah aku masih kecil. Bila sampai waktu berbuka  seluruh isi rumah akan duduk di atas tikar dan juadah berbuka akan di letakkan di atas kain saprah. Lampu pelita chimney pun akan dipasang dan akan diletakkan tinggi sedikit di tengah-tengah saprah. Adalah juga lampu pelita katak. Pelita ini tak perlu dilapik sebab memang sudah tinggi sedikit.  Waktu itu mana ada lampu elektrik. Kalau nak buat jamuan malam, orang kampung akan menggunakan lampu kebait (carbait) atau lambu gaslin  yang digantung dari alang rumah. Di kampung hari cepat gelap sebab banyak pokok agaknya. Waktu bulan puasalah baru aku dapat merasa minuman sejuk, selalunya air siraplah. Seingat akulah, tak ada pulak Mak atau sesiapa nak buat kopi ais ke, teh ais ke, teh o ais ke..ye..memang tak ada. Yang ada itupun jarang sangat, ialah air manis botol yang dipanggil ' lemenet ' (lemonade sebenarnya) Air batunya Acik Ein akan pergi beli dipekan Kota Bharu dalam bentuk ketulan besar tapi boleh juga dibeli pada saiz yang lebih kecil. Cina yang jual ais tu meletakkan ketulan aisnya di dalam peti kayu yang diisi dengan sebuk kayu yang digergaji. Dulu mana ada peti sejuk. Begitulah caranya ketul ais disimpan.  Bila ada orang yang nak beli, penjual akan meraba-raba ke dalam peti itu dan mengambil ketulan ais untuk dipotong dengan gergaji mengikut saiz dan harga si pembeli. Aku rasa harga ketulan ais waktu itu yang bersaiz besar lebih kurang 6"x"6 x 15" baru beberapa puluh sen sahaja. Ketulan ais itu akan di balut dengan kertas surat khabar dan diikat dengan tali masin untuk dijenjet. Cuba bayangkan menjenjet ketulan ais dengan begitu sahaja sambil berjalan kaki balik ke rumah...tak ke meleleh air sepanjang jalan tetapi begitulah caranya. Tak ada 'coleman' atau kotak polystarine ikan tu. Selalunya ais itu akan dibeli ketika hampir berbuka puasa. Acik Einlah yang selalu ditugaskan pergi membeli ais. Dia akan meletakkan ketul ais itu di atas carrier basikalnya dan mengikatnya  dengan getah tiub basikal supaya tidak jatuh. Dia akan mengayuh basikalnya laju-laju supaya cepat sampai bagi mengelakkan ais cair. Takut tak sempat dibuat minuman...kelakar juga kalau difikirkan sekarang ini..kenapa tidak diletakkan di dalam bakul atau kotak...??

Bulan puasa ada moreh. Seingat aku setiap rumah ada giliran morehnya. Bila sampai giliran kita, kenalah membawa juadah ke masjid, selalunya kuih muihlah. Pernah juga aku tengok Acik Ein membawa juadah ke mesjid. Aku tak pernah dibawa ke masjid waktu bulan puasa jadi aku tak tahu apa yang menjadi juadah orang berbuka puasa di masjid tu. Yang aku tahu bila kerantung berbunyi orangpun berbuka puasa. Azan tidak kedengaran sebab ketiadaan pembesar suara, tetapi bunyi ketukan kerantung itupun sudah cukup kuat untuk menembusi kesunyian maghrib. Kadang-kadang kedengaran ketukan kerantung itu tingkah meningkah terutamanya di waktu subuh kerana bunyi kerantung dari kampung sekelilingpun boleh sampai ke Kota Bharu. Kerantung diperbuat daripada sejalur balak pokok yang ditebukkan lubang di bahagian tengahnya disepanjang ukurannya. Ukuran kayu balak itu tidaklah panjang sangat lebih kurang tiga atau empat kaki lebih sahaja dengan garis pusat lebih kurang kalau tak salah aku limabelas ke enam belas inci sahaja. Lubang yang ditebuk di tengah-tengahnya mungkin sembilan ke sepuluh inci garis pusat sahaja tetapi di satu permukaan balak itu akan juga ditebuk lubang memanjang lebih kurang dua kaki panjang tembus hingga ke lubang yang di tengah tadi bagi mengeluarkan bunyi yang lebih nyaring dan jitu.

Kerantung ini akan digantung menegak pada alang kayu di kawasan mesjid yang agak lapang supaya bunyi ketukannya nanti tidak tersekat. Untuk mengeluarkan bunyinya bagi menandakan masuk waktu solat, kerantung ini akan dipukul oleh tok siak dengan menggunakan sebatang kayu keras bentuknya seperti kayu baseball. Ketukan dilakukan dengan tingkahan atau nada melodi yang tertentu. Kerantung bukan sahaja diketuk untuk menandakan masuk waktu solat tetapi juga memberitahu marhain kampong jika terdapat kematian. Pada ketika keadaan genting seperti peperangan atau dharurat, kerantung juga digunakan untuk memberitahu kedatangan musuh atau seumpamanya. Setiap tingkah ketukan akan menandakan sesuatu peristiwa. Begitulah pentingnya peranan kerantung di dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu. Masjid Kota Bharu masih menggunakan  khidmat kerantung tetapi sudah mempunyai pembesar suara untuk seruan azan.



 KERANTUNG YANG DIGUNAKAN DI MASJID kOTA BHARU SEKARANG
                              ADALAH KERANTUNG TINGGALAN MASJID LAMA DAHULU.


Menjelang hari raya adalah masa yang sibuk dan menyeronokkan. Mak dan Cu akan mula mengeluarkan acuan kuih, dibasuh dan dikeringkan. Mak akan mula menumbuk tepung dengan lesung kaki yang terletak di bawah rumah. Mak tidak membeli gula halus. Aku tak pasti waktu itu sudah adakah gula halus berpaket atau tidak. Tepungpun akan dijemur, kata Mak supaya ringan dan kek atau biskut naik cantik dan gebu. Acik Ein pun akan mula mencari buluh lemang. Aku pula akan mula mengutip tin susu untuk di buat panjut. Kami juga akan pergi ke kebun getah untuk mencari kayu api dan mengutip kulit biji getah yang banyak berselerak di bumi. Kulit biji getah ini juga akan dijadikan saperti kayu api tuntuk membakar buahulu nanti. Kuih atau manisan yang mula-mula mak akan buat ialah agar-agar kering. Agar-agar ini tidak menggunakan gula pasir tetapi mengggunakan gula batu dan Mak akan buat bebagai-bagai warna, potong nipis-nipis sekadar 1/4 inci tebalnya dan diatur di atas talam atau tudung periuk yang besar kemudian Mak akan jemur di panas matahari, Selalunya Mak akan jemur di tepi tingkap yang ada masuk panas matahari. Manisan ini  boleh tahan lama sampai hingga ke Hari Raya Aidl Adha.

Selalunya seminggu sebelum hari raya Mak akan membuat kuih buahulu. Mak lebih suka menggunakan oven yang dibuat sendiri walaupun sudah ada oven hitam jenis cap kupu-kupu tu. Oven hitam tu hanya untuk membakar kuih bangkit atau biskut semperit sahaja. Mak akan belah tin minyak tanah yang besar tu dan isikan dengan pasir lombong hingga setengah bahagian. Diletakkan keatas api dan acuan kuih itu akan diletakkan di atas pasir panas dalam takungan tu. Di atasnya Mak akan letakkan kepingan zink sebagai penutupnya dan dipasangkan api dengan menggunakan sabut kelapa dan kulit biji getah. Bahulunya masak dengan sangat cantik, lembut dan gebu. Semuanya di lakukan di bawah rumah , begitu juga untuk membakar lemak, di bawah rumah juga. Senang dan sangat praktikal, hujan pun tak kena, nyamukpun lari sebab asapnya aka naik masuk melalui celah-celah lantai  menyebabkan rumah dipenuhi asap untuk jangka masa yang agak lama juga hanya masalahnya kain baju yang bersidai akan berbau asap.



Sekolah, Kedai , Balai Penghulu Dan Masjid.

Kota Bharu ada dua sekolah, lama dan baharu. Sekolah lama yang dekat pekan tu dan sekolah baharu yang masuk ke dalam sikit, yang ada padang besar tu. Waktu aku kecil sekolah baharu tu baru sahaja siap. Di tepi padang sekolah baharu yang sebelah sini dulu, ada sebuah bangunan satu tingkat, kecil sahaja yang dipanggil Balai Penghulu. Di situ juga menempatkan sebuah wakil pos. Dulu aku selalu pergi beli stem dan pos surat di situ. Di celah antara Balai Penghulu dan padang sekolah ada satu lorong basikal. Selain daripada menggunakan lorong di hadapan rumah Wah, aku selalu juga menggunakan lorong itu untuk menuju rumah Opah, tetapi agak panas sedikit sebab dia menyusur jalan tarmax.


                            HANYA INI SAHAJA BARISAN KEDAI YANG TINGGAL DI 
                          SEPANJANG JALAN PANGGONG MENGHALA KE 'PESPET TIN'
                    TIADA KEDAI RUNCIT DI SINI KECUALI KEDAI KOPI APEK AH YOOK



                     YANG TINGGAL HANYALAH PAPAN TANDA 'JALAN PANGGONG'
                       YANG TERLETAK DI KAWASAN UTAMA PEKAN KOTA BHARU


Pekan Kota Bharu tu dulu banyak juga kedainya. Ada dua baris kedai di seberang sini dan satu baris di seberang jalan keretapi. Yang paling aku ingat ialah kedai basikal orang Cina namanya Ah Chai sebab kedai dia yang kita mula-mula jumpa disebelah kiri bila mula masuk ke pekan Kota Bharu tu. Ada kedai getah. aku masih ingat lagi alat penimbangnya yang besar tu..kadang-kadang aku suka pergi berdiri di atas alat penimbang tu kalau ikut Acik Ein pergi jual getah. Ada kedai kopi mamak, gemuk orangnya. Selalu pakai kain pelikat.  Di kedai kopi ini ada radio besar (juke box kata orang putih) yang menggunakan piring hitam untuk memutarkan lagunya. Di rumah Opah dulu ada juga radio yang baterinya besar, letak di luar. Radio tu Bapak yang beli untuk hiburan adik-adik iparnya iaitu Mak dan Cu. Radio tu diletakkan di atas alamari di tepi tingkap. Di atas tanah di bawah tingkap tu dulu ada tunggul getah yang agak besar. Aku masih ingat lagi. Kak Yang, Endan dan Maknah selalu duduk di atas tunggul tu untuk tumpang mendengar radio , paling suka mendengar lagu-lagu hiburan atau lagu-lagu permintaan. Waktu aku kecil aku memang pandai menyanyi, agaknya akibat mendengar radiolah. Rasanya di kawasan itu, hanya rumah Opah seorang saja yang ada radio. Sampai sekarang aku ingat dan masih boleh menyanyikan lagu-lagu klasik Melayu yang di siarkan melalui Radio Klasik Nasional, RTM. Anak-anak dan kawan-kawan pejabatku menjadi hairan bagaimana aku boleh menyanyikan lagu-lagu tersebut, tanpa tinggal walau sebaris lirikpun. Sememangnya aku membesar dengan lagu-lagu itu. Terima kasih RTM kerana mengujudkan Radio Klassik Nasional. Sampai sekarang,  itulah satu-satunya stesen radio yang menjadi pilihanku. Selalunya ketika aku menjahitlah lagu-lagu ini aku jadikan teman. Terlalu banyak kenangan yang dibawa oleh lagu-tersebut. Sambil menaip nipun  aku sedang mendengar lagu-lagu dari stesen radio tersebut. Kadang-kadang terbabas, tertaip pulak liriknya...apa tidaknya, sudah sebati dalam jiwa. Kata orang kalau mahu meninggalkan kenangan, nyanyikanlah sebuah lagu atau berikan orang itu minyak wangi, sampai bila-bila dia akan terkenangkan kita bila terdengar lagu itu atau terbau bau haruman itu. Aku setuju dengan kenyataan itu.



                     YANG BERBUMBUNG MERAH ITU ADALAH SATU SATUNYA KEDAI
                    RUNCIT YANG MASIH BERFUNGSI DAN TERLETAK DI SEBERANG
                                                        LANDASAN KERETAPI



                                 LAGI SATU PEMANDANGAN KEDAI RUNCIT DI ATAS
                    DI BELAKANGNYA TERBINA BALAI POLIS BAHARU KOTA BHARU


Kedai kopi mamak ni letaknya berhampiran dengan pintu masjid bahagian hadapan-maknanya laluan masuk utama, kerana masjid lama dulu tu ada pintu bahagian belakangnya. Ramai juga orang yang pergi minum kopi di kedai ini sebab dia berhampiran sangat dengan masjid. Selepas menunaikan sembahyang fardhu atau sembahyang jumaat jemaah akan bersantai, bersembang-sembang dan berbual sambil minum kopi. Seingat aku masjdi ini bukan sahaja di gunakan oleh penduduk Kota Bharu sahaja, termasuklah mereka yang tinggal di Kampong Lalang di hujung jalan tu juga. Masjid ini ada mempunyai kolah besar untuk mengambil air sembahyang yang ditadah dari air hujan. Kedudukan kolah ini adalah di antara 'menesah' (madrasah sebetulnya) dan bangunan masjid. Madrasah ini digunakan selalunya oleh kaum ibu untuk majlis ilmu. Aku kerap juga mengikut opah pergi majlis ilmu di madrasah itu kalau ada tok guru jemputan yang datang. Madrasah dan tapak kolah  itu masih ada sampai sekarang, tetapi masjid sudah di tukar baharu. Kalau tak salah aku masjid baharu inilah tapak kedai kopi mamak tu.



                                       PEMANDANGAN 'MENESAH' (MADRASAH) LAMA
                                        MASJID KOTA BHARU YANG MASIH TINGGAL


                                      MASJID JAME' (BAHARU ) PEKAN KOTA BHARU


Di kawasan pekan (main) ada kedai Ah Yoo, kedai Kon Tai dan banyak lagi. Lebih kurang lima belas buah kedai lagi. Opah selalu ambil barangan runcit di kedai Ah Yoo. Kalau barangan yang dibeli berat, Ah Yoo akan hantar dengan basikal ke rumah. Di sebelah kedai Ah Yoo ada kedai menjual kain poplin atau kain chit (mungkin 'cheap' agaknya) kata orang dulu (rasanya kain cotton). Ada menjual payung, alatulis sekolah , kelambu dan banyak lagi bercampor baur dalam satu kedai. Kalau tak salah di seberang jalan dari kedai Ah Yoo tu ada sebuah kedai India yang menjual barangan runcit juga tetapi tidaklah seceria kedai Cina...Haaaa..!!!  di sebelah kedai India tu ada satu kedai yang Opah tak suka bawa aku pergi...kedai permainan kanak-kanak. Bila sudah tua-tua begini, terfikir pulak aku, bagaimana pemilik kedai itu mampu hidup dengan hanya menjual barang permainan kanak-kanak pada hal bukannya ramai orang yang nak membeli barangan itu. Mungkin untuk makan hari-hari mereka hanya membeli bahan ruji dan lauknya dicari di merata kampung. Begitulah makmurnya Kota Bharu dahulu .Hidup rukun damai berbagai bangsa hinggakan orang Cina seperti Ah Yoo bercakap bahasa Melayu dalam longat Perak yang cukup pekat. "Teman senighi pun takut ke lombong tuuu.., semedang aje teman nampak buaye nye...eee..kalau jatuh kayo...lebuhhh..!!! Ate..idak le peghonah lagi teman pegi ke situ.." Ate..faham ke anak-anak aku kalau aku bercakap begitu..? Sikit-sikit tetapi kadang-kadang menjadi ajukan mereka.


                                      INILAH DAHULUNYA KAWASAN 'MAIN' (UTAMA) 
                                    JUGA KAWASAN KOMERSIAL PEKAN KOTA BHARU

                         JEJAMBAT INI TERLETAK DI ATAS KAWASAN PASAR BASAH
                      YANG JUGA MENEMPATKAN KEDAI BUAH-BUAHAN DAN KEDAI
               AIS KEPAL, DI SINI JUGA TEMPAT PUSINGAN AKHIR BAS DARI GOPENG.



Jalan yang memisahkan di antara kedua baris kedai ini halanya menuju ke 'pespit tin' (Phospate Tin...haaa itu lah jadinya kalau orang Melayu bercakap orang putih) satu kawasan perlombongan bijih timah. Ada juga basikal dan kereta yang menggunakan jalan ini sebagai jalan pintas untuk ke Batu Gajah. Sekarang pun begitu, terdapat kampung-kampung tersusun tumbuh di atas tanah bekas lombong tu kerana kawasan itu lebih dekat jaraknya dengan pekan Batu Gajah yang pesat membangun dan pekan Kota Bharu bagaikan dilupakan sahaja. Di hujung sebelah sini, di kepala jalan, di simpang tiga,tempat bas berpusing balik ke Gopeng, ada lagi sekelompok kedai kecil , senang cakap pondok-pondok kedai yang berfungsi sebagai pasar basah. Ada kedai ikan, sayur, dan buah-buahan. Kalau nak beli buah-buahan import, di sinilah tempatnya. Di sinilah pelawat atau saudara mara dari daerah lain membeli buah tangan untuk di berikan kepada tuan rumah tempat mereka bertamu nanti. Aku paling suka kalau Ayah Ngah Sham datang, Waktu itulah aku dapat merasa buah orang putih, limau atau epal atau anggur.

Di seberang get keretapi sebelah sana  ada sebaris lagi kedai tetapi tidak banyak. Waktu aku menukilkan blog ini kedai itu masih ada dan nampaknya itulah sahaja kedai runcit  yang masih berfungsi. Dahulunya barisan kedai ini tidak berapa popular kepada penduduk Kota Bharu sebab  mereka terpaksa melintas get keretapi untuk ke sana. Kedudukan kedai ini adalah berhadapan dengan Balai Polis lama di seberang jalan tetapi Balai Polis baharu sekarang berada di belakangnya. Untuk pergi ke kedai ni sekarang kita terpaksa menaiki jejambat dan membuat pusingan U. Pangkal jejambat seberang sana ..di situlah letaknya Balai Polis lama Kota Bharu.



Bakap, Kampong Cangkat Tualang, Batang Kulim dan Redang Sawa.

Kenderaan yang dipunyai oleh kebanyakan orang kampong hanyalah basikal. Berguna sangat basikal ni. Untuk pergi memotong getah, untuk ber-ikan di sungai atau lombong atau untuk menziarah keluarga di kampong yang berdekatan. Sekali sekala adalah kereta orang bandar datang ke Kota Bharu tu, yang paling aku tahu adalah kereta Morris warna biru gelap kepunyaan Ayah Ngah Sham. Kalau dia balik ke Lahat ke rumah mertuanya, dia pasti singgah menjenguk Opah atau dia balik menghadiri kenduri kahwin atau kematian, dia akan singgah di Kota Bharu. Mak, Cu dan Acik Ein semuanya ada basikal masing-masing yang terutamanya digunakan untuk pergi memotong getah. Akupun tak tahu di mana mereka pergi memotong tu. Keluar lepas subuh , balik waktu matahari dah berbahang panas. Sampai saja ke rumah mereka mengerjakan getah latex untuk dibuat getah keping. Harga getah waktu itu agak lumayan juga.


Proses membuat getah keping ni nampak macam senang je aku tengok. Getah latex yang Mak dan Cu bawa balik dalam timba tu akan ditapis ke dalam bekas aluminium bersegi bujur yang di panggil takung. Tapis tu bukannya apa, takut ada sampah atau ranting-ranting kayu di dalam getah latex tadi. Kalau hari kutipan latexnya banyak, banyaklah bilangan takung yang digunakan, kalau tidak satu tekung sahajalah. Latex tadi akan dicampurkan dengan cuka getah dengan sukatan tertentu dan dikacau rata-rata dengan menggunakan kepingan kaca. Bila sudah siap takung-takung tadi akan ditutup dengan kepingan zink, takut ayam atau kucing terjatuh ke dalam nya. Sementara menunggu latex itu beku, Mak dan cu akan membersihkan diri mandi di sungai, sambil membasuh kain. Kadang-kadang akupun join sama. Kadang-kadang lambat juga getah tu nak beku. Bila dah beku -tapi bukan keras- takung tadi akan diterbalikkan ke atas zink penutup tadi. Sekarang sampailah saatnya untuk 'pesta menari'. Getah beku yang setebal empat ke lima inci itu akan dipijak-pijak hingga menjadi sedikit nipis. Itulah aku tengok Mak dan Cu macam orang menari memijak-mijak getah tu. Lepas tu giliran Acik Ein pula untuk memikul kepingan getah tu ke mesin getah di seberang sungai. Mesin tu terletak di belakang rumah Hj. Syukur, berhampiran dengan rumah pondok seorang India pembuat dan penjual kacang puteh namanya Sami. Getah akan digelek antara dua selinder ..macam kita buat mee kuning tu. Lepas itu getah keping tu akan di jemur di tengah panas pada ampaian buluh sebab getah tu berat. Getah keping tu akan dijemur setiap hari hingga mendapat warna keemas-emasan.Waktu malam getah itu akan disimpan di tempat yang selamat supaya tidak dicuri orang. Esoknya akan dijemur lagi. Begitulah seterusnya. Selalunya kutipan latex banyak waktu musim panas tapi kalau musim hujan, Mak dan Cu tak pergi memotongpun.

Aku sering dibawa Mak pergi ke Bakap melawat Tok Gemok. Tok Gemok ni abang kepada Opah. Namanya Uda Malik. Dia tinggal bersama isterinya dan seorang anak angkat yang kami panggil Cik Oneh (entah apa nama sebenarnya) Masa itu yang aku ingat Cik Oneh sudah agak remaja juga berbanding dengan umurku. Mereka ni selalu juga datang ke Kota Bharu dengan keretapi. Keretapi, kalau bukan keretapi mel akan singgah di stesen-stesen kecil seperti Bakap dan Kota Bharu. Dari rumah mereka tu untuk ke stesen Bakap agak jauh juga berjalan kaki. Selalunya mereka akan berbasikal ke stesen dan menyimpan basikal mereka di rumah orang kampong yang berdekatan stesen...Oh ya, agak berdekatan dengan stesen tu ada rumah Opah Baiyah saudara opah juga, Mak panggil dia Wan Cu Baiyah. Orangnya puteh sangat, mesti cantik waktu muda-muda dulu. Kata  Mak, Opah Baiyah ni banyak ilmu, tak tahulah ilmu apa...ilmu orang dulu-dululah agaknya, Kalau tak salah anaknya Ayah Choa Osman bapa kepada Normah yang pernah menjadi pembantu rumah kepada Ayah Ngah Sham sewaktu di Petaling Jaya dulu. Kalau ada kelas KEMAS-selalunya kelas memasaklah- Mak akan datang ke Bakap , membawa aku bersama sebagai teman. Lepas habis kelas Mak akan singgah ke rumah Opab Baiyah sementara menunggu keretapi datang. Stesen dan rumah Opah Baiyah agak dekat tapi kalau nak pergi rumah Tok Gemok, memang tak sempatlah. Kalau keretapi sedang 'on the way' dan dah dengar peluitnya, stesen master akan membunyikan loceng jadi barulah  kami turun dari rumah Opah Baiyah. Selain daripada mengambil bekalan bijih timah di stesen-stesen ini keretapi berhenti adalah juga di atas permintaan ramai kerana rasanya tak ada jalan bas masuk ke kampong ini. Masa itu orang masih ramai menggunakan keretapi. Tetapi sayangnya apabila sudah tiada bekalan bijih timah untuk di angkut oleh keretapi, maka perkhidmatannya diberhentikan. Sekarang ni sudah tiada lagi Kampong Bakap, Kampong Batang Kulim, Kampung Redang Sawa dan penempatan-penempatan kecil di sekelilingnya, habis di jual kepada syarikat perlombongan. Yang tinggal hanyalah tanah pekuburan islam yang aku masih ingat. Tak tahu masih digunakan lagi atau tidak. Aku pun tak pasti adakah tanah perkuburan ini tanah perkuburan Kampong Batang Kulim??

                           
                   DI SINIKAH DAHULU LETAKNYA KG. BAKAP, KG.BATANG KULIM DAN
                           KG. REDANG SAWA ? DI MANA TAPAK RUMAH TOK GEMOK ?



                                   
               APA YANG KELIHATAN HANYALAH BEKAS LOMBONG YANG DITINGGALKAN
                   DAN KAWASAN LAPANG BERPASIR PUTEH DIBAKAR BAHANG MATAHARI.
                                             NYEGHONGEN WEHH...PANAIHNYA...!!

                    
Kalau untuk ke Kampong Cangkat Tualang, memang kena naik basikal. Selalunya Mak tidak kesaorangan bersama aku kerana untuk ke sana akan melalui kebun getah dan jalan yang agak sunyi dan pada satu tempat, agak semak sikit. Cu atau Acik Ein akan ikut bersama. Aku akan membonceng di 'carrier' belakang basikal Mak (orang dulu pun panggil carrier-amboi speaking gitu!) berlapekkan bantal sebab carrier tu di buat daripada besi dan lebar pulak tu. Aku yang masih kecil lagi waktu tu terpaksa mengangkang  baru rasa stabil. Lagipun kalau tidak di bubuh bantal punggung ku akan terasa sakit apabila Mak melanggar akar-akar pokok getah yang timbul merentang jalan. Aku ikut terlompat sama...adohh !! Di sana ada Tok Ki Alang Bando dan isterinya yang Mak panggil Wan Cu Ndah. Wan Cu Ndah  besar kemungkinan adik Opah kerana di  Kampong Sungai Tukang Sidin Telok Intan ada seorang lagi Wan Cu kepada emak-emak saudara aku ni. Itu aku tahu memang adik Tok serupa statusnya macam Opah Bongkok. Opah Cu di Kampong Sungai Tukang Sidin ni adalah emak kepada Acik Zul (Datuk Dr. Haji Zulkarnain Hj. Abd. Rahman-Pengerusi Persatuan Sejarah Perak) Tok Ki Alang Bando dan Opah Cu Ndah mempunyai seorang anak angkat Cina yang aku panggil Wan Bee. Moyong di Kota Bharu pun begitu, dia juga adalah anak angkat kepada Opah Bongkok. Wan Bee adalah opah atau nenek kepada Dato' A.C. Mizal selebrity tu. Mengikut cerita Mak suami Wan Bee, iaitu datuk kepada Dato' A.C. Mizal, mati dibunuh oleh kominis waktu zaman dharurat dulu. Aku rasa inilah juga satu penyebabnya kenapa Dato' Zaini, bapa A. C Mizal tekad menjadi anggota polis....aku agak aje..!! Sebenarnya ramai lagi saudara mara dikampong tu termasuk juga kakak Acik Zul bernama Maimunah. Rumahnya pun dekat dengan rumah Tok Ki Alang Bando.

Dulu untuk ke Cangkat Tualang kena menyeberang get keretapi, terus lalu di hadapan Balai Polis Kota Bharu. Balai polis ni dulu hanyalah bangunan kayu satu tingkat terletak bertentangan dengan kedai runci yang ada sekarang di seberang jalan, dikelilingi pagar pokok bunga jarum merah (exora bahasa botaninya) dan ada pintu gerbang bulat, pokok bunga anting-anting memanjatnya. Jalan terus sikit lagi, melencong ke kiri dan masuk melalui hadapan rumah pekerja Estet Sunglop dan teruslah hingga sampai ke Cangkat Tualang. Sekarang jalan ke sana sudah cantik dan berturap walaupun di penghujungnya sebelum masuk ke kampung itu, kita terpaksa meredah pasir lombong di tengah terik matahari. Tak ada perkhidmatan bas yang masuk ke kampung ini. Perkhidmatan bas hanya lalu di jalan besar Gopeng-Kota Bharu tetapi sekarang nampaknya sudang semakin jarang lalunya....maklumlah kampung itu sudah ketiadaan penghuni. Dengarnya mereka dipindahkan oleh syarikat perlombongan itu ke satu kawasan di Jalan Batu Gajah juga diberikan pampasan. Anak-anakpun pulang ke kampung dengan kenderaan masing-masing itupun waktu hari raya dan cuti sekolah. Tak ada apa lagi hanya rumah pusaka yang uzur dan sepi, menanti masa rebah ke bumi. Sungai di Kota Bharu sudah tidak jernih lagi airnya seperti ketika aku budak-budak dulu. Walaupun begitu agaknya masih terdapat ikan dalam sungai tu sebab kadang-kadang ada juga orang pasang pengelor dan hasilnya tidak pula mengecewakan. Mak kerap juga mendapat habuan daripada anak-anak buahnya yang rajin mengelor. Ikannya boleh tahan besarnya.


              PENULIS BERSAMA DATO' DR. HJ. DZULKARNAIN BIN HJ. ABDUL RAHMAN - 
             PENGERUSI PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN PERAK(PSMPk)



 PENULIS DAN KELUARGA BERSAMA ACIK ZUL.
                         GAMBAR DI RAKAM DI TAMAN PERWIRA, RAPAT SETIA , IPOH.



Mula Bersekolah

Mencecah umurku tujuh tahun, aku diambil tinggal dengan keluarga kandungku oleh Bapak untuk disekolahkan. Ketika itu Bapak dan keluarga sudahpun lama berpindah dari Changi Singapura ke Kg. Bagan Ajam, Butterworth dan masih meneruskan tugas bersama Tentera Udara Di Raja Australia di bawah panji-panji Negara Komenwel.  Bermulalah perpisahanku dengan Mak dan segala yang berada di Kota Bharu. Rumah kami di Bagan Ajam hanyalah sebuah rumah papan sahaja tetapi berhampiran dengan laut. Tiada kemudahan api elaktrik dan air paip. Itu sajalah yang serupa dengan Kota Bharu. Setiap rumah di kampung ini ada telaganya sendiri. Sumber air bersih disediakan oleh kerajaan melalui paip besar yang terletak di tengah kampung. Air terpaksa diangkut dari paip besar hingga ke rumah. Ada juga orang kampung yang menggunakannya untuk mandi manda dan membasuh pakaian di lokasi paip itu. Yang perempannya relax saja berkemban..zaman jahiliahlah waktu tu..!Tiada sungai, tiada kebun getah, tiada bunyi kapal korek. Malamnya tiada bunyi cengkerik dan kuang kuit tetapi diganti dengan bunyi deburan ombak menghempas pantai. Kadang-kadang bunyi berdebup..!!.buah kelapa jatuh.  Siangnya dinyamankan dengan hembusan angin laut dan bunyi geseran daun kelapa. Dari tingkap rumah memang nampak rumah dan dari pantai nampak Pulau Pinang dan Pulau Tikus. Kebanyakan rumah yang berhampiran dengan laut akan ada pelantar yang mengadap ke laut untuk tempat bersantai dan tidur selepas makan tengahari...memang lenalah dihembus angin laut...satu nikmat ku jangkakan.

Sekolah pertamaku, Sekolah Kebangsaan Bagan Ajam. Dekat jugalah dengan rumah. Boleh jalan kaki. Jalan ke sekolah tu berpasir maklumlah kawasan pantai. Kadang-kadang pasir tu masuk ke dalam kasut dan bila sampai di sekolah, kami terpaksa membuka kasut untuk membersihkannya. Bangunan sekolah hanyalah sebuah bangunan tinggi bertiang batu dan tidak berdinding di bawahnya. Bangunan ini menempatkan empat kelas, dua di bawah dan dua di atas. Tandasnya berasingan dan digunakan juga bagi menyimpan kerusi dan meja serta papan hitam ketika sessi belajar tamat. Kami murid-murid akan mengangkat kerusi meja masing-masing dan menyusunnya di dalam tandas. Pagi esok akan dikeluarkan semula . Tidak bagi dua kelas di atas yang tidak perlu berbuat demikian. Paling sedih tapi seronok bila hari hujan. Kelas di bawah akan berhenti kerana murid-murid akan terpaksa merapatkan kerusi meja ke bahgian tengah bagi mengelakkan tempias air hujan. Tiada kantin hanya kadang-kadang ada orang kampung yang datang berjual nasi lemak dan kuih muih dalam bakul. Walaupun sekolah kami daif, kami tetap riang belajar dan para gurunya sangat dedikasi walaupun mereka tidak punya bilik guru macam di sekolah sekarang. Berhampiran dengan jalanraya Butterworth-Alor Setar dan dipisahkan oleh satu kawasan lapang yang kononnya padang sekolah, terdapat lagi sebuah bangunan bertiang rendah dan menempatkan dua kelas lagi dan bilik Guru Besar. Di sinilah ditempatkan darjah lima dan enam. Aku menghabiskan darjah enamku di sini sebelum berpindah ke sekolah peralihan yang meminjam Sekolah Menengah Dato' Onn sessi petang sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kampung Kastam yang jaraknya agak jauh dan terpaksa naik bas.Kisah persekolahanku berakhir hingga aku keluar dari Politeknik Ungku Omar.

Pada mula-mula aku dibawa tinggal jauh ke utara, aku menjadi seorang budak yang 'homesick'..macam orang sakit angau. Bila memandang awan, aku tiba-tiba menjadi sebak dan kerap menangis sorang-sorang. Terbayanglah wajah Mak dan semuanya. Susah juga aku nak menyesuaikan diri dengan dengan keadaan di tempat baharu ni ditambah dengan kehadiran tiga orang adik lelakiku dan Encik  yang garang. Tetapi lama kelamaan aku dapat mengatasi segalanya. Sebagai seorang bapa yang cukup perihatin dan cukup memahami gelodak hati kecil anaknya, Bapak tidak pernah lupa menghantar akau balik ke Kota Bharu setiap cuti sekolah. Aku seorang saja yang lain tidak. Dia faham perasaan adik iparnya yang kehilangan anak. Jadi begitulah ceritanya sehingga aku sudah boleh diharap balik sendiri ke Kota Bharu dengan membawa bersama dua orang adik lelakiku. Ketika itu aku baru berusia sepuluh tahun dan adik-adikku  lapan dan tujuh tahun. Bapak hanya membelikan teket bas express dari Butterworth ke Ipoh. Satu kerusi kongsi tiga orang dengan beg pakaian di letakkan di atas riba. Bapak begitu yakin dengan apa yang dia buat selama ini, menghantar aku balik saban kali cuti sekolah dan dia tahu aku mampu melakukannya. Begitu tebal tawakkal Bapak kepada Allah..kerna dari Ipoh kami terpaksa naik bas ke Gopeng dan dari Gopeng baru naik bas ke Kota Bharu. Hinggakan bila sampai di Kota Bharu, kebanyakan warga kampung yang mengenali kami sebagai cucu Opah, mengucap panjang kerana kami balik tanpa ditemani orang dewasa. Akupun yakin bertambah seronok kerana itulah saat-saat yang kami nantikan...balik ke Kota Bharu dan ....sungaiiiii..!! itu saja yang terbayang di sepanjang perjalanan.

Setelah Mak mendirikan rumah tangga dengan Abah (Tajuddin bin Pandak Husin), dan berpindah ke tempat lain, yang tinggal di Kota Bharu hanyalah Opah, Acik Ein dan Cu. Itupu aku selalu balik juga menziarahi mereka. Setelah Cu berkahwin, tinggallah Acik Ein dan Opah. Aku selalu juga balik apatah lagi akupun sudah remaja. Opahpun masih kuat lagi dan Moyong dan keluarga masih tinggal berhampiran. Kak Zah dan keluarga masih tinggal di rumah tepi sungai tu. Opah Bongkok, adik ipar Opah masih ada tinggal bersama Maknah.Waktu itu keadaan di Kota Bharu masih seperti ketika aku kanak-kanak lagi walaupun ketika aku mengandungkan anak sulungku...tetapi selepas Cu berkahwin dan membawa Opah tinggal bersamanya di Serdang dan hanya tingaal Acik Ein seorang di Kota Bharu, aku sudah tidak balik lagi ke sana sehingga kali akhir aku ke sana hanyalah pada tahun 1999 selepas itu tidak pernah lagi hinggalah ke tahun 2008. Di antara tahun-tahun itu aku hanya balik ke beberapa tempat lain di mana tempat Mak berada.

Setelah Abah meninggal pada tahun 2001 di Batu Batu 7, Jalan Batu Gajah, Mak berpindah balik ke Kota Bharu dan tinggal bersama Acik Ein. Ketika itu keadaan Kota Bharu sudah banyak berubah. Ketika pertama kali aku masuk ke kampung itu, setelah sepuluh tahun meninggalkannya, aku dikejutkan dengan kehadiran jejambat yang melintasi landasan keretapi. Mana perginya kedai ?? Mana perginya masjid ?? Mana perginya Balai Polis ?? Sungguh-sungguh aku terkejut dan dadaku sebak hampir mengalirkan air mata. Mana rumah Moyong...tinggal dapur ?? Mana rumah Opah Bongkok...tinggal anjung dan bersemak samun ?? Mana rumah Kak Yang...hutan..mana kebun rambutan Bapak...hutan juga...!!! Kebun getah dah jadi lombong, tetapi satu sahaja yang bertambah..beklan air paip dah sampai ke rumah Tok, berbanding kuasa elektrik yang sedah sampai lebih awal dari itu. Sunga...?? Airnya kuning dan dipenuhi lalang tetapi bukan samai. Dah tak nampak ikannya hanya sekali sekala nampak kelibat kilatan sisiknya yang di pancar cahaya matahari. Ada sebuah telaga berdinding zink di belakang dapur sana di tepi sungai, Kononnya di bina oleh Chao Farid anak Ayah Ngah Sham. Dia pernah punya satu visi untuk menjadikan rumah Tok sebagai pusat tarbiah anak-anak muslim tetapi cita-citanya tidak  kesampaian kerana kurang dana dan sokongan. Diapun sudah tiada lagi.


                                          TELAGA YANG DIBINA OLEH CHAO FARID
                                                 DI BELAKANG DAPUR RUMAH TOK.


Lahir dari aliran dingin air sungai dan bingitnya bunyi jeritan kapal korek membelah keheningan malam Mukim Teja, sesungguhnya akan tidak akan pernah meluputkan segala kenanganku bersama daerah ini walaupun segalanya sudah tiada lagi.  Kota Bharu, anugerah alam yang masih segar memenuhi saraf memori dan pejamku. Pada kewujudan yang Allah berikan padamu, aku terhutang budi kerana lahir aku sebagai anak jati daerah ini. Apa yang aku harapkan..aku ingin melihat kampung kelahiranku ini kembali ceria dengan pembangunan yang sewajarnya, setanding dengan kampung-kampung lain walaupun akan berbeza panoramanya. Kepada anak cucu dan jenerasi akan datang, berikanlah penghuni kepada rumah yang telah lama ditinggalkan, jernihkanlah air sungainya yang masih mampu mengalir, imarahkanlah masjid yang semakin sunyi, berikanlah kembali nyawa dan kesibukan pekannya yang telah nazak, isikan Balai Polisnya dengan pegawai yang berdedikasi menjaga keamanan kampung dan kawasan sekitarnya, penuhilah jalan rayanya dengan kenderaan awam yang mudah menyambungkan penumpangnya melunaskan tugas dan keperluan mereka dengan pekan-pekan besar.


                            
               SUNGAI YANG DULU AIRNYA TERLALU JERNIH KINI DIPENUHI TUMBUHAN
                         AIR YANG TEBAL DAN TIDAK DISELENGGARA MEMBUATKAN 
`                                  KOTA BAHARU KAMPUNG YANG TIADA TARIKAN LAGI.


Aku percaya, dengan pembinaan kilang simen dibelakang sana dan jalan raya yang cantik membelah kawasan lombong, menghubungkan Kota Bharu dan Malim Nawar juga  Tg. Tualang , Kota Bharu akan kembali sibuk dan ceria bagai dulu. Kenalkan kembali pekan ini walaupun kepada pelajar-pelajar Kolej Matrukolasi Gopeng yang tidak pernah tahu keberadaannya. Kepada mereka yang punya kuasa membuat keputusan, harap dapat melakukan sesuatu untuk mengembalikan gahnya nama Kota Bharu. Aku berharap, keturunan anak jati darah Kota Bharu akan kembali memakmur dan mengharmonikan kehidupan pekan keacil ini yang sudah lama hilang serinya. Bangunkanlah semula apa yang telah dirintis oleh nenek moyang kita dahulu dan pertahankan kewujudan dan maruah tempat leluhur kita di lahir dan dibesarkan. Jangan lagi hasil kekayaannya dikaut serakus-rakusnya oleh manusia yang mencari hasil dari bangsa lain. Jangan, kerana ......tanah ini, tanah kita, harta kita..



          
      INILAH WAJAH 'YEOP KAYA' DATUKKU YEOP AHMAD BIN KULUP MAT RESAT DAN             OPAHKU SALAMIAH BT. KULUP SAGAP BERSAMA ACIK EIN DI SEKITAR TAHUN 40-AN.
                                          






***Kebanyakan dari mereka yang aku sebutkan nama dan gelarannya  di nukilan ini sudah pun lama meninggalkan kita, begitu juga seluruh jenerasi pertama dan kedua Yeop Kaya. Nukilan ini terbit dari apa yang aku ingat dan mungkin ada yang kurang tepat .Anggap saja ianya satu memoir kepada jenerasi yang akan datang.




























5 comments:

  1. Assalam,

    Kalau tak silap I kenal you ni. kita sama2 sekolah kat kg kastam . dah lama cari you. hang ingat Suhaimi tak? Kalau tengok gambar you teringat senyum masa muda. Aku dengan Suhaimi memang tengah cari you.

    ReplyDelete
  2. oh lupa ni my no. 0123779564. boleh watsapp.

    ReplyDelete
  3. Assallamualaikum....Saya telah membaca hingga akhir coretan puan, kagum saya bagaimana anda boleh mengingati kembali segala pengalaman anda semasa kecil tinggal dan membesar bersama tok dan emak saudara yg anda panggil mak. Saya juge muskil bagaimana orang kg kota, kota baru ade kene mengene dengan org kg telok bakong lambor ni. Saya juga mempunyai crite membesar di kg telok bakong hilir (kg paloh) di tepi sungai perak dan saya juge tak pasti same ade boleh mkan ikan tapah atau tidak tapi seluruh ahli keluarga diberi amaran agar tidak menyentuh ikan tersebut.Alangkah bagusnye klau saya juga boleh menyusun ayat2 dan sebagaimana anda lakukan.....syabas..

    ReplyDelete
  4. Assalam...syabas
    Saya mior abd rahman bin mior adlan, anak Pak Lan..cucu opah nyah yang dulu depan rumah yong muna. Saya lahir sahaja di Kg lalang tapi tak tinggal sana. Saya juga buat research berkaiatan Almarhum Syed Jaafar. InsyaAllah boleh sembang nanti. Tel saya 0192106462. Terima kasih

    ReplyDelete
  5. Seghonok mace tulisan mike weyhhh....teghingat jaman dulu....begenang juge le ayor mate. Teman Mior Azim anak Pak Abu...ghomah tepi geghotak keghantung belah eyor...kalo belah ulu ghomak arwah Pak Ghajak Wan Nab...0123143098

    ReplyDelete